UMNO Terengganu bantah wujudkan menteri agama bukan Islam

ROZI MAMAT

UMNO Negeri Terengganu menolak sekeras-kerasnya cadangan Ahli Parlimen Raub dari DAP, Chow Yu Hui untuk memecahkan portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kepada dua cabang, iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.


Pengerusi Perhubungannya, Datuk Rozi Mamat berkata, cadangan itu jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama rasmi negara seperti termaktub dalam Perkara 3(1). 


Beliau berkata, sebarang usaha untuk menyamakan kedudukan agama lain dengan Islam dalam pentadbiran negara adalah satu tindakan tidak wajar, mengelirukan dan boleh menjejaskan keharmonian serta asas pembentukan Malaysia.


“Malaysia sudah lama mengamalkan kebebasan beragama, dan hak penganut agama lain sentiasa dihormati tanpa perlu diwujudkan portfolio khas,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Rozi berkata, sebarang usaha ke arah itu hanya akan mencetuskan ketegangan yang tidak perlu serta membuka ruang kepada pihak tertentu untuk mempertikaikan keistimewaan Islam dalam struktur pentadbiran negara.


UMNO Terengganu menegaskan bahawa kedudukan Islam dalam sistem pentadbiran kerajaan mesti terus dipertahankan tanpa kompromi. 


“Kami menyeru semua pihak, khususnya kerajaan, agar tidak melayan cadangan yang boleh menggugat kesejahteraan dan perpaduan rakyat Malaysia,” katanya.


Kelmarin, Yu Hui ketika membahas Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja mencadangkan agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua.


Beliau menyarankan portfolio itu dipecahkan kepada hap ehwal agama Islam dan satu lagi mewakili bukan Islam. - TT

Post a Comment

0 Comments