Disergah nak saman, pemuda fitnah Rozi ketar-ketir datang mohon maaf

Rozi Mamat tetap menerima permohonan maaf Luqman Majid walaupun fitnah yang dilempar amat berat.

SEORANG pemuda yang memfitnah Datuk Rozi Mamat ketar-ketir datang memohon maaf setelah Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu itu menyergahnya untuk mengambil tindakan undang-undang.

Pemuda tersebut yang dipercayai penyokong parti lawan membuat fitnah konon kontraktor Jabatan Pengairan Saliran (JPS) lantikan Kerajaan Pusat sebagai “orang Rozi” menerusi satu komen dalam Facebook semalam.

Bagaimanapun, setelah Rozi yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu menafikan dakwaan itu dan mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang, pemuda berkenaan telah memadam komen tersebut.

Hari ini pemuda berkenaan, Luqman Majid bersama bapanya telah datang bertemu Rozi dan memohon maaf atas fitnah yang dilemparkannya.

Rozi berkata, beliau menerima permohonan maaf pemuda tersebut dengan hati yang terbuka kerana percaya setiap insan tidak lari daripada melakukan kesilapan.



“Saya menghargai sikap tanggungjawab yang ditunjukkannya dengan berani mengakui kesalahan dan memohon maaf. “

“Tindakan ini memerlukan kekuatan hati dan menunjukkan kedewasaan dalam menghadapi sesuatu masalah,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Rozi berkata, beliau sempat berpesan kepada Luqman bahawa perbezaan fahaman politik itu tidak salah, malahan sesuatu yang sihat jika dibahas dengan matang dan beradab. 

“Namun, jangan sesekali kita mencampurkan perbezaan ini dengan fitnah kerana fitnah hanya akan melahirkan permusuhan yang berpanjangan. 

“Kita mungkin berbeza pendapat, tetapi itu tidak seharusnya menjadikan kita musuh,” katanya dengan harapan pemuda tersebut terus menginsafi diri.

Nasib pemuda ini baik apabila Rozi tidak meneruskan tindakan undang-undang.

Rozi berharap kejadian itu menjadi pengajaran buat semua dengan memastikan apa yang ingin disebarkan dipastikan kebenarannya

“Dan jika tersilap, jangan takut untuk mengaku. Dunia ini akan menjadi tempat yang lebih baik jika kita semua lebih memilih untuk berlapang dada.

“Terima kasih kepada semua yang terus menyokong kebenaran. Kita teruskan kehidupan dengan hati yang lebih tenang dan penuh kebaikan,” katanya.

Tindakan Rozi yang menerima permohonan maaf pemuda berkenaan dipuji kalangan warga net dan menganggapnya sebagai seorang pemimpin yang berjiwa besar. - TT

Post a Comment

0 Comments