Tangkap layar rakaman video tular menunjukkan keadaan Pasarnita Tanjung masa kini. |
KEADAAN Pasarnita di Tanjung, Kuala Terengganu semakin ‘uzur’ walaupun setahun lalu kerajaan negeri mengumumkan cadangan untuk memperelokkan pusat jualan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat pada ketika itu berkata, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah menerima beberapa cadangan bagi menguruskan Pasarnita.
“Kita dimaklumkan suasana Pasarnita suram dan sepi kerana ketiadaan operator untuk menyeragamkan dan memperkemas konsep niaga di situ.
"Kini pihak MBKT dalam proses menilai proposal yang dihantar dan akan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa kewangan dan pelaburan untuk melantik operator yang berkelayakan bagi menguruskannya.
"Insya-Allah dalam tempoh dua bulan lagi Pasarnita akan kembali berseri dalam membentuk identiti dan tarikan tersendiri," ujarnya seperti dilapor portal rasmi negeri Terengganu, TRDI pada 4 Oktober tahun lalu.
Bagaimanapun beberapa hari lalu tular rakaman video yang menunjukkan keadaan Pasarnita Tanjung ketika ini yang semakin rosak seolah-olah tanpa penjagaan daripada pihak berkaitan.
Berdasarkan rakaman video berdurasi seminit itu, kelihatan bahagian bumbung Pasarnita tersebut yang tercabut, jubin-jubin pula banyak yang pecah dan tertanggal serta bangku yang menunggu masa untuk menyembah bumi.
Susulan itu, para warganet khususnya penduduk negeri ini mendesak pihak berkuasa khususnya MBKT mengambil langkah segera untuk mengembalikan semula tarikan Pasarnita Tanjung.
Ini memandangkan kedudukan Pasarnita tersebut yang berhampiran dengan Jambatab Angkat yang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.
Pasarnita Tanjung yang dibuka sejak November 2016 ketika zaman kerajaan Barisan Nasional (BN), mensasarkan peniaga wanita bertujuan menjana transformasi ekonomi golongan itu di negeri ini dengan pelbagai jenis jualan antaranya makanan, kraftangan, pakaian, produk kecantikan dan cenderahati. - TT
0 Comments