Oracle labur RM27 bilion dalam AI, teknologi awan di Malaysia!

SYARIKAT gergasi IT dunia, Oracle akan melabur sebanyak AS$6.5 bilion (RM27 bilion) dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) dan awan di negara ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abd Aziz hari ini.

Menurut beliau pelaburan tersebut membolehkan entiti di negara ini terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memanfaatkan teknologi berkenaan bagi memupuk inovasi dan meningkatkan daya saing global.

"Ia juga merupakan satu langkah penting ke arah merealisasikan visi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP2030) untuk mewujudkan 3,000 kilang pintar menjelang 2030. 

"Keputusan Oracle untuk menubuhkan rantau awan awam pertamanya di Malaysia juga menyerlahkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan digital terulung di Asia Tenggara,"katanya hari ini.

Tengku Zafrul berkata, keputusan Oracle itu menunjukkan keyakinan syarikat global itu terhadap terhadap potensi Malaysia sebagai hab inovasi teknologi dan pertumbuhan di rantai ini.

Tengku Zafrul Tengku Abd Aziz - Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri
Katanya, sebagai gerbang serantau untuk infrastruktur awan dan aplikasi perisian berpangkalan di Malaysia, kawalan data dan kedaulatan digital penting untuk pelanggan Oracle, terutamanya industri kita yang ingin mengembang atau mengukuhkan sayap ke Asia Tengggara. 

"Kalau nak tarik pelaburan ke Malaysia, yang sama penting adalah kedaulatan undang-undang. Ini adalah antara faktor kita berjaya menarik banyak pelaburan digital ke Malaysia,"katanya.

Sebelum ini, sebuah lagi syarikat gergasi IT global, Google telah membuka pusat membuka pusat data dan wilayah awan pertama di Malaysia, yang majlis pecah tanahnya dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Elmina Business Park, Shah Alam dengan pelaburan AS$2 bilion (RM8.33 bilion).

Pusat data tersebut akan mendukung teknologi AI dan menyediakan sambungan langsung di Cyberjaya dan Kuala Lumpur.

Pelaburan terbesar Google di Malaysia itu bagi membina kerjasama dengan kerajaan untuk memajukan transformasi digital dan keselamatan siber. - TT

Post a Comment

0 Comments