Sebahagian warga asing yang diperiksa dalam operasi di sekitar Kemaman. |
SERAMAI 14 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan setelah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu menjalankan Op Spy, Kutip, Belanja dan Selera di sekitar daeraj Kemaman.
Hasil operasi tersebut, sebanyak 20 premis dan 108 individu telah diperiksa dan daripada jumlah itu seramai 13 lelaki Indonesia dan seorang lelaki Myanmar ditahan.
JIM Terengganu dalam satu kenyataan berkata, sembilan PATI Indonesia ditahan di tiga lokasi tapak pembinaan di Kampung Binjai, Kemaman.
Manakala empat lagi rakan senegara mereka ditahan di dua buah restoran di Taman Chukai Utama.
“Lelaki warga Myanmar ditahan di sebuah tapak pembinaan di Kampung Bukit Kuang, Kemaman,” kata kenyataan itu hari ini.
Jabatan itu berkata, semua PATI ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna pas, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah serta Seksyen 15(1)(c) akta yang sama iaitu tinggal lebih masa.
“Kesemua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Ajil untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, tiga warga tempatan turut diberi notis hadir ke pejabat imigresen untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.
JIM Terengganu menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung keberadaan warga asing yang disyaki menyalahi undang-undang serta peraturan imigresen untuk siasatan dan tindakan.
Katanya, tindakan tegas akan turut diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji atau melindungi PATI. - TT
0 Comments