Fadhlina tolak tuduhan guru paling ramai palsukan MC



MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek hari ini menafikan dakwaan guru sebagai penjawat awam paling ramai memalsukan sijil cuti samit (MC).

Beliau yang memandang serius laporan media itu berkata, dakwaan tersebut tidak bertanggungjawab dan memberi persepsi negatif terhadap profesion perguruan.


“Isu ini tidak sepatutnya berbangkit. Tatakelola penjawat awam sentiasa diberi perhatian bagi memastikan prestasi perkhidmatan terbaik untuk masyarakat. 


“Kementerian juga mempunyai peraturan yang jelas bagi menangani isu tatatertib penjawat awam.


“Pemantauan dilaksanakan secara berterusan di setiap peringkat dan penjawat awam yang terlibat dalam sebarang salah laku akan dikenakan tindakan,” tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.


Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan yang memetik kenyataan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) melaporkan,@ golongan guru adalah kumpulan penjawat awam paling ramai terbabit dalam salah laku memalsukan MC.


Selain itu, CUEPACS dilapor berkata, ada juga guru yang dikesan sengaja memohon cuti kecemasan (EL) untuk kepentingan peribadi.


Fadhlina berkata, pada masa ini terdapat lebih

400,000 guru di seluruh negara yang menjalankan tanggungjawab dengan penuh komitmen dan integriti.


“Kerajaan Madani menghargai peranan penting guru membangunkan negara. 


“Sebagai penghargaan kepada sumbangan guru, Perdana Menteri telah mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam pada bulan Ogos lalu,” katanya.


Beliau berkata, KPM juga melaksanakan pelbagai usaha untuk memelihara kesejahteraan warga pendidik termasuk menerusi tujuh langkah bagi menangani beban tugas guru.


“KPM tekad untuk terus memartabatkan profesion keguruan. Profesionalisme guru mendidik anak bangsa perlu disanjung tinggi oleh seluruh lapisan masyarakat,” katanya. - TT

Post a Comment

0 Comments